Thursday 14 January 2016

Qada Solat

Sebagai seorang Muslim kita semua tahu bahawa solat itu merupakan kewajipan yang Allah s.w.t. suruh seperti mana yang terdapat di dalam rukun Islam yang ke2.

Selama kita hidup pernah tak kita tinggal solat? Kita manusia akhir zaman yang lemah imannya, sering kali lalai dalam kewajiban yang Allah s.w.t. suruh. Mungkin kita adalah dalam golongan orang yang pernah tinggal solat baik sengaja ataupun tidak sengaja. Sekarang rasa menyesal itu mungkin mula dirasai oleh kita semua disebabkan dahulunya jahil tentang agama dan sering tinggal solat walaupun sudah aqal baligh dulu.
Alhamdulillah hari ini Allah masih lagi hidupkan kita, memang Dia tahu banyaknya dosa kita dan mahu memberi ruang kepada kita untuk bertaubat. Selagi ajal belum tiba eloklah kita semua qada' solat kita yang kita tinggal dulu. Puasa yang ditinggalkan kena ganti, hutang dengan manusia pun kita kena bayar inikan hutang kita dengan Allah s.w.t.

Ok, apa yang mesti kita tahu tentang cara atau bagai mana mahu qada’ solat?

Ada pendapat yang mengatakan hanya perlu qada' solat yang ditinggalkan kerana tidak sengaja terlupa atau tertidur dan tidak perlu qada' solat yang sengaja ditinggalkan. Misalnya sembahyang yang ditinggalkan dengan sengaja kerana lalai semasa “muda-muda dulu”. Mereka mengatakan cukup dengan istighfar dan bertaubat sahaja.

Sebenarnya pendapat ini tidak tepat kerana Rasulullah s.a.w. sendiri menqada' solat yang ditinggalkan walaupun Baginda s.a.w. tidak tertidur atau terlupa.

Qada' ialah melakukan sesuatu ibadah di luar waktunya dan tunai ialah melakukan sesuatu ibadah di dalam waktunya. Secara mudahnya tunai “waktu Allah”, qada' “waktu kita”.

Dari ‘Aisyah r.a katanya: ”Apabila Rasulullah s.a.w. lupa solat malam, umpamanya kerana tertidur dan sebagainya, maka baginda menggantinya pada siang hari dua belas rakaat.” (Hadith riwayat Muslim)

Cara niat Qada' bagi solat fardu lima waktu pula ialah:

1. Solat Maghrib:
“Sahaja aku solat fardu maghrib tiga rakaat qada’ kerana Allah Ta’ala”

2. Solat Isyak:
“Sahaja aku solat fardu Isyak empat rakaat qada’ kerana Allah Ta’ala”

3. Solat Subuh:
“Sahaja aku Solat Fardu Subuh dua rakaat qada’ kerana Allah Ta'ala”

4. Solat Zuhur:
“Sahaja aku solat fardu Zuhur empat rakaat qada’ kerana Allah Ta'ala”

5. Solat Asar:
“Sahaja aku solat fardu Asar empat rakaat qadha’ kerana Allah Ta'ala"

Ada orang bertanya : Jika kita tertinggal solat (sengaja dan tidak sengaja) sejak akhil baligh sehingga sekarang (20-an; banyak waktu), perlukah di qada' semua jumlah solat yang tertinggal itu atau cukup dengan melakukan solat taubat?

Jawabnya, Wajib qada' solat yang telah tertinggal. Disini ada dua cara untuk qada', pertama jika seseorang yang tahu sebanyak mana dia telah tinggalkan solat fardhunya, maka qada'kanlah mengikut bilangan yang telah ditinggalkannya.

Cara kedua adalah bagi yang tidak tahu secara detail berapa banyak yang telah ditinggalkannya, yakni semenjak akil baligh, buatlah anggaran berapa banyak solat yang perlu diqada' dan berhentilah jika sudah yakin solat itu sudah diqada' kesemuanya. Cara yang terbaik adalah selepas selesai solat fardhu lakukan solat qada', buatlah berterusan begitu moga-moga diterima Allah.

Selain itu ada juga orang bertanya, jika ditakdirkan meninggal sebelum sempat mengqada' semua solat itu (tetapi sudah buat solat taubat) bagaimana?

Soal jika meninggal sebelum sempat mengqada' kesemua solat itu, semuanya bergantung pada Allah s.w.t, akan tetapi jika kita telah benar2 insaf dan niat untuk qada kesemua solat dan telah melakukan solat taubat dengan bersungguh-sungguh dan juga mengikuti segala perintah Allah s.w.t, in sya Allah akan diampuni dosa-dosanya. Untuk pengetahuan semua, qada' solat fardhu boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja tiada waktu larangan padanya. Semoga perkongsian ini bermanfaat kepada semua dalam mendapat pengampunan daripada Allah s.w.t.


kredit: nasbunnuraini

Soalan : Ustaz,saya nak tanya,macamana kita nak qada solat yang kita pernah tinggal dahulu,dan cara mengerjakannya..?

Jawapan :

Solat yang pernah ditinggalkan setelah baligh (bermimpi keluar air mani) wajib di qada. Cuba buat kiraan berapa banyak kita telah meninggalkan solat fardu. Kita boleh mengqada solat tak kira waktu jika ada masa maka tunaikanlah untuk membayar hutang kita kepada Allah SWT. Hutang ini akan ditanya di akhirat nanti jika kita enggan membayarnya semasa hidup di dunia. Contoh jika masuk waktu zohor setelah kita solat zohor bersama imam (solat berjemaah) selepas habis saja solat fardu maka kita solat qada zohor. Atau pun boleh juga kita solat qada zohor setelah muazin melaungkan azan zohor. Contoh niat solat qada : “Sahaja aku solat qada fardu zohor kerana Allah Taala”

Dalil perlunya solat qada yang pernah ditinggalkan masa remaja dulu : Dari Anas bin Malik ra, berkata Rasulullah SAW yang bermaksud: “Jika salah seorang dari kamu tertidur atau lalai hingga lupa solat, hendaklah dia mengerjakannya apabila teringat kerana Allah berfirman : Dirikanlah solat untuk mengingatiKu (Hadis Sahih Muslim)

Nota Editor: Artikel ini asalnya telah dikongsikan oleh Ustaz Abu Basyer di Blog Tanyalah Ustaz.

 "Maka hutang Allah lebih utama perlu dibayar" (Hadis riwayat muslim)

"Barang siapa yang terlupa solat atau tidur dan terlepasnya, kafarahnya ialah bersolatlah sebaik sahaja dia ingat"
- Hadith riwayat Muslim -