Sebagai seorang Muslim kita semua tahu bahawa solat itu
merupakan kewajipan yang Allah s.w.t. suruh seperti mana yang terdapat di dalam
rukun Islam yang ke2.
Selama kita hidup pernah tak kita tinggal solat? Kita
manusia akhir zaman yang lemah imannya, sering kali lalai dalam kewajiban yang
Allah s.w.t. suruh. Mungkin kita adalah dalam golongan orang yang pernah
tinggal solat baik sengaja ataupun tidak sengaja. Sekarang rasa menyesal itu
mungkin mula dirasai oleh kita semua disebabkan dahulunya jahil tentang agama
dan sering tinggal solat walaupun sudah aqal baligh dulu.
Alhamdulillah hari ini Allah masih lagi hidupkan kita,
memang Dia tahu banyaknya dosa kita dan mahu memberi ruang kepada kita untuk
bertaubat. Selagi ajal belum tiba eloklah kita semua qada' solat kita yang kita
tinggal dulu. Puasa yang ditinggalkan kena ganti, hutang dengan manusia pun
kita kena bayar inikan hutang kita dengan Allah s.w.t.
Ok, apa yang mesti kita tahu tentang cara atau bagai mana
mahu qada’ solat?
Ada pendapat yang mengatakan hanya perlu qada' solat yang
ditinggalkan kerana tidak sengaja terlupa atau tertidur dan tidak perlu qada'
solat yang sengaja ditinggalkan. Misalnya sembahyang yang ditinggalkan dengan
sengaja kerana lalai semasa “muda-muda dulu”. Mereka mengatakan cukup dengan
istighfar dan bertaubat sahaja.
Sebenarnya pendapat ini tidak tepat kerana Rasulullah s.a.w.
sendiri menqada' solat yang ditinggalkan walaupun Baginda s.a.w. tidak tertidur
atau terlupa.
Qada' ialah melakukan sesuatu ibadah di luar waktunya dan
tunai ialah melakukan sesuatu ibadah di dalam waktunya. Secara mudahnya tunai
“waktu Allah”, qada' “waktu kita”.
Dari ‘Aisyah r.a katanya: ”Apabila Rasulullah s.a.w. lupa
solat malam, umpamanya kerana tertidur dan sebagainya, maka baginda
menggantinya pada siang hari dua belas rakaat.” (Hadith riwayat Muslim)
Cara niat Qada' bagi solat fardu lima waktu pula ialah:
1. Solat Maghrib:
“Sahaja aku solat fardu maghrib tiga rakaat qada’ kerana
Allah Ta’ala”
2. Solat Isyak:
“Sahaja aku solat fardu Isyak empat rakaat qada’ kerana
Allah Ta’ala”
3. Solat Subuh:
“Sahaja aku Solat Fardu Subuh dua rakaat qada’ kerana Allah
Ta'ala”
4. Solat Zuhur:
“Sahaja aku solat fardu Zuhur empat rakaat qada’ kerana
Allah Ta'ala”
5. Solat Asar:
“Sahaja aku solat fardu Asar empat rakaat qadha’ kerana
Allah Ta'ala"
Ada orang bertanya : Jika kita tertinggal solat (sengaja dan
tidak sengaja) sejak akhil baligh sehingga sekarang (20-an; banyak waktu),
perlukah di qada' semua jumlah solat yang tertinggal itu atau cukup dengan
melakukan solat taubat?
Jawabnya, Wajib qada' solat yang telah tertinggal. Disini
ada dua cara untuk qada', pertama jika seseorang yang tahu sebanyak mana dia
telah tinggalkan solat fardhunya, maka qada'kanlah mengikut bilangan yang telah
ditinggalkannya.
Cara kedua adalah bagi yang tidak tahu secara detail berapa
banyak yang telah ditinggalkannya, yakni semenjak akil baligh, buatlah anggaran
berapa banyak solat yang perlu diqada' dan berhentilah jika sudah yakin solat
itu sudah diqada' kesemuanya. Cara yang terbaik adalah selepas selesai solat fardhu
lakukan solat qada', buatlah berterusan begitu moga-moga diterima Allah.
Selain itu ada juga orang bertanya, jika ditakdirkan
meninggal sebelum sempat mengqada' semua solat itu (tetapi sudah buat solat
taubat) bagaimana?
Soal jika meninggal sebelum sempat mengqada' kesemua solat
itu, semuanya bergantung pada Allah s.w.t, akan tetapi jika kita telah benar2
insaf dan niat untuk qada kesemua solat dan telah melakukan solat taubat dengan
bersungguh-sungguh dan juga mengikuti segala perintah Allah s.w.t, in sya Allah
akan diampuni dosa-dosanya. Untuk pengetahuan semua, qada' solat fardhu boleh
dilakukan pada bila-bila masa sahaja tiada waktu larangan padanya. Semoga
perkongsian ini bermanfaat kepada semua dalam mendapat pengampunan daripada
Allah s.w.t.
kredit: nasbunnuraini
Soalan : Ustaz,saya nak tanya,macamana kita nak qada solat
yang kita pernah tinggal dahulu,dan cara mengerjakannya..?
Jawapan :
Solat yang pernah ditinggalkan setelah baligh (bermimpi
keluar air mani) wajib di qada. Cuba buat kiraan berapa banyak kita telah
meninggalkan solat fardu. Kita boleh mengqada solat tak kira waktu jika ada
masa maka tunaikanlah untuk membayar hutang kita kepada Allah SWT. Hutang ini
akan ditanya di akhirat nanti jika kita enggan membayarnya semasa hidup di
dunia. Contoh jika masuk waktu zohor setelah kita solat zohor bersama imam
(solat berjemaah) selepas habis saja solat fardu maka kita solat qada zohor. Atau
pun boleh juga kita solat qada zohor setelah muazin melaungkan azan zohor.
Contoh niat solat qada : “Sahaja aku solat qada fardu zohor kerana Allah Taala”
Dalil perlunya solat qada yang pernah ditinggalkan masa
remaja dulu : Dari Anas bin Malik ra, berkata Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Jika salah seorang dari kamu tertidur atau lalai hingga lupa solat, hendaklah
dia mengerjakannya apabila teringat kerana Allah berfirman : Dirikanlah solat
untuk mengingatiKu (Hadis Sahih Muslim)
Nota Editor: Artikel ini asalnya telah dikongsikan oleh
Ustaz Abu Basyer di Blog Tanyalah Ustaz.
"Maka hutang Allah lebih utama perlu dibayar"
(Hadis riwayat muslim)
"Barang siapa yang terlupa solat atau tidur dan
terlepasnya, kafarahnya ialah bersolatlah sebaik sahaja dia ingat"
- Hadith riwayat Muslim -
No comments:
Post a Comment