Rezeki yang melimpah-ruah, halal dan berkat adalah dambaan
setiap insan. Namun untuk menjadikannya kenyataan bukanlah sesuatu yang mudah.
Ini kerana kekayaan yang bertimbun dan kedudukan yang tinggi tidak menjamin
keberkatan hidup yang hakiki.
Sering kita lihat orang yang rezekinya melimpah-ruah
membelanjakan kekayaan mereka ke jalan sesat dan mengingkari perintah Allah
sedangkan kita selalu diingatkan serta dinasihatkan oleh Allah supaya makan
rezeki yang baik dan jangan sesekali mengikut jejak syaitan.
Rezeki yang halal dan berkat bukan sahaja dapat membawa
manusia menuju ketenteraman hati, malah dapat membawa kemuliaan di sisi Allah.
Insya-Allah, kita dapat mencapainya dengan mengerjakan solat Dhuha.
Solat Dhuha adalah solat yang berkait rapat dengan rezeki
sama ada dipermudahkan rezeki, rezeki diberkati, kemanfaatan rezeki dan pahala
yang tinggi nilainya. Manakala di akhirat pula, Allah menyediakan pintu khusus
baginya memasuki syurga.
Ruang Waktu dan Waktu Afdal
Sesuai dengan namanya Dhuha yang bermaksud pagi, jadi ruang
waktunya bermula kira-kira 20 minit selepas terbit matahari atau disebut dalam
kitab-kitab fekah sebagai tinggi matahari daripada pandangan jauh sekadar satu
al-Rumh atau batang lembing iaitu kira-kira dua meter. Waktu solat ini pula
berakhir sebelum menjelang waktu Zuhur. Jadi, secara mudahnya batas waktu solat
sunat Dhuha ini antara pukul 7:30 pagi hingga 1:00 tengah hari.
Waktu afdalnya adalah ketika sinar matahari kian panas.
Berdasarkan sepotong hadis Nabi s.a.w. yang dirakamkan oleh Zaid bin Arqam,
Rasulullah s.a.w. menjelaskan:
“Solat Dhuha ini afdalnya ketika matahari telah meninggi dan
kian panas sinarnya.”
Imam Nawawi menghuraikan masa tersebut sebagai masa
berlalunya seperempat tempoh siang hari iaitu pukul 10:00 pagi hingga 1:00
tengah hari (Kitab al-Majmu’ karangan Imam Nawawi).
Cara Perlaksanaan
Secara asas dan mudahnya berdasarkan hadis-hadis Nabi, solat
sunat Dhuha ini dilakukan seperti solat-solat lain, cuma bacaan yang dianjurkan
Baginda s.a.w. selepas al-Fatihah, menurut hadis yang disampaikan oleh Uqbah
bin Amir, ialah surah al-Syams pada rakaat pertama dan al-Dhuha pada rakaat
kedua. (Riwayat al-Hakim)
Namun begitu, perkara (bacaan dalam solat) ini adalah
sesuatu yang subjektif dan tidak statik. Maka tidak perlulah hanya terikat dengan
kaifiat tertentu dan bacaan tertentu. Apa yang penting, solat tersebut
diniatkan dengan betul, syarat-syaratnya dipenuhi dan rukun-rukunnya
disempurnakan sebaik-baiknya. Begitu jugalah dengan doa selepas solat tersebut.
Jumlah rakaat solat Dhuha adalah 2, 4, 8 atau 12 rakaat.
Cara menunaikannya pula adalah sama seperti sembahyang-sembahyang sunat yang
lain iaitu dua rakaat satu salam.
Niat Solat Dhuha adalah seperti di bawah:
Kemudian, setelah selesai solat Dhuha maka bacalah doa ini:
Maksud doa:
“Ya Allah bahawasanya waktu Dhuha itu waktu Dhuha-Mu,
kecantikan itu ialah kecantikan-Mu , keindahan itu keindahan-Mu, kekuatan itu
kekuatan-Mu, kekuasaan itu kekuasaan-Mu dan perlindungan itu
perlindungan-Mu". "Ya Allah jika rezekiku masih di atas langit,
turunkanlah dan jika ada di dalam bumi, keluarkanlah, jika sukar mudahkanlah,
jika haram sucikanlah. Jika masih jauh dekatkanlah. Berkat waktu dhuha,
keagungan, keindahan, kekuatan dan kekuasaan-Mu, limpahkanlah kepada kami
segala yang telah engkau limpahkan kepada hamba-hamba-Mu yang soleh”
Nota
Kepada orang yang tidak menghafal surah-surah yang
disarankan iaitu surah al-Syams pada rakaat pertama dan al-Dhuha pada rakaat
kedua, boleh dibaca apa-apa surah. Yang penting niat kita adalah ikhlas untuk
Allah SWT.
Berkenaan doa pula, boleh baca mana-mana doa yang berkaitan tetapi lebih
afdal baca doa solat Dhuha yang khusus. Doa itu sememangnya cukup baik dan
sempurna untuk memohon keberkatan rezeki dari Ilahi.
Dalam satu riwayat Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya
:
“Barangsiapa yang menjaga sembahyang Dhuhanya nescaya
diampuni Allah baginya akan segala dosanya walaupun seperti buih di lautan.”
(Riwayat Ibnu Majah dan At-Tirmidzi)
Kredit:
1.
http://www.alhikmahsj.com
2.
http://nursyirah.wordpress.com
3. http://ibuberbicara.blogspot.com/2012/12/solat-dhuha-doa-dan-cara-melaksanakannya.html
No comments:
Post a Comment